Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah, bahawa (jalan menuju) syurga itu penuh rintangan dan liku, sedangkan jalan ke neraka itu mudah dan rata.” (Hadis riwayat Muslim)
Menerusi Kitab Minhajul ‘Abidin oleh Imam al-Ghazali, ulama besar bidang ilmu tasawuf menjelaskan, perjalanan seorang ahli ibadah bakal berdepan cabaran dan apabila berjaya melalui cabaran itu, ia akan menjadi insan berjaya di akhirat. Kitab yang menjadi antara karya terakhir Imam al-Ghazali adalah peninggalan berharga, menjadi wasiat bimbingan terakhir beliau bagi umat Islam, sebelum menjelang kewafatannya.
Imam al-Ghazali menggariskan tujuh cabaran bagi hamba meningkatkan kualiti ibadah kepada Allah SWT. Cabaran itu ialah ilmu, taubat, rintangan, godaan, dorongan, fitnah dan pujian. Imam Al-Ghazali mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan ilmu sebagai pangkal segala perbuatan termasuk untuk melakukan ibadah.
“Beribadah tanpa bekal ilmu adalah sia-sia dan ilmu juga menjadi panduan manusia meniti usia di dunia sebagai bekalan akhirat. Adalah keharusan bagi seorang hamba menunaikan ibadah dengan didasari ilmu dan ilmu lebih bernilai jika diamalkan serta disampaikan kepada orang lain. Memetik sabda Rasulullah SAW: “Mencari ilmu itu adalah wajib bagi setiap Muslim lelaki mahu pun perempuan.”
Mengibaratkan ilmu sebagai pohon, manakala ibadah bagaikan buah kepada pohon berkenaan, ilmu sebenarnya membentuk jiwa individu.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, supaya kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.” (Al-Thalaq: 12)
Imam Al-Ghazali turut menyatakan taubat adalah sebahagian daripada cabaran perlu dilalui umat Islam kerana bukan mudah untuk mengakui kesilapan dan meninggalkan perkara yang dilarang. Namun, usaha untuk bertaubat boleh terlaksana dengan menyedari kejahatan dan buruknya dosa, mengingati akan hebatnya seksaan serta pedihnya kemurkaan Allah SWT. Kesedaran itu menjadi pencetus yang akan mendorong seseorang meninggalkan dosa dilakukan.
Ketakutan mengulangi dosa itu perlu ada dalam hati supaya kita komited untuk bertaubat dan meninggalkan segala perbuatan yang dimurkai. Malah, Allah SWT menyukai hamba-Nya yang bertaubat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (Al-Baqarah: 222)
Godaan khususnya nafsu juga menjadi cabaran yang perlu ditempuhi umat Islam untuk beribadat kerana tunduk pada hawa nafsu mengakibatkan seseorang punya sifat riak dan sombong. Perasaan itu bukan sahaja boleh merosakkan nilai ibadah, tetapi turut mengusir nilai keimanan dalam jiwa individu. Bagaimanapun katanya, setiap manusia ada peluang untuk mendidik hawa nafsu supaya sentiasa taat perintah Allah SWT dan rasul-Nya.
Umat Islam perlu bijak menangani cabaran dengan menjaga batas waktu terutama dalam hal membabitkan ibadah supaya ia memberi kesan terhadap pembangunan roh atau jiwa. Ujian Allah SWT untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya, meningkatkan kecintaan kepada Pencipta dengan menjalani kehidupan di dunia dan meyakini kehidupan di akhirat.
Jika syaitan mengajak kepada perkara tidak baik, nafsu pula ke arah keseronokan seperti banyak tidur dan makan. Manusia juga adalah sejenis gangguan yang melalaikan namun, untuk tidak bergaul dan bercampur dengan orang ramai bukanlah suatu yang mulia.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama dengan jemaah dan orang ramai.” (HR Ahmad)