Rebut Puasa Enam di Bulan Syawal

Rebut Puasa Enam di Bulan Syawal

Orang yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan kerana Allah, mereka layak untuk mendapat pelbagai kenikmatan daripada Maha Pencipta. Di antara nikmat yang sungguh hebat ialah dikhususkan kepada mereka yang berpuasa satu syurga yang hanya untuk orang-orang yang berpuasa sahaja.

Ini berdasarkan sebuah hadis baginda Rasulullah: 

Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun. - [ HR Bukhari 2840].

Puasa enam merupakan amalan sunat. Telah berkata Imam An-Nawawi: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata: 

Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [HR Bukhari 1991] 

Kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal

Sabda Rasulullah: 

Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. - [HR Muslim 1164].

Kefahaman dari hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.

Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Demikian ulasan mengenai pelaksanaan ibadah puasa Syawal dan keutamaan untuk berpuasa. Semoga bermanfaat.