Dalam kehidupan hari ini, terdapat banyak perkara yang menyumbang kepada tekanan dan stress. Ini kerana corak kehidupan hari ini yang terpaksa menghadapi pelbagai masalah seperti beban kerja dan tanggungjawab, masalah kewangan, masalah rumahtangga, kesihatan dan pelbagai lagi. Dalam menyelesaikan tekanan dan stress ini, Islam ada beberapa penyelesaiannya, iaitu:
#1- Zikrullah
Zikrullah adalah dengan sentiasa mengingat Allah, sesuai dengan firmanNya dalam al-Quran;
“Dengan mengingat Allah, hati akan tenang.”
Al-Raad:28
Oleh itu, ucaplah ‘Lailaha ilallah’ sebanyak-banyaknya, insyaAllah hati kita akan menjadi tenang. Berzikir bukan sahaja dilakukan dengan cara lisan tetapi untuk setiap perkara yang kita lakukan, iaitu dengan menyebut nama ‘Allah’ di setiap helaan nafas kita.
#2- Solat
Solat merupakan cara untuk setiap hambaNya berhubung dengan Allah oleh itu, selain cara untuk mendekatkan diri kepadaNya. Menjaga solat lima waktu turut membantu menjaga ketenteraman hati. Bahkan solat yang khusyuk turut mampu menyelesaikan masalah emosi.
Dengan mendirikan solat kita juga pasti akan sedar bahawa Allah adalah tempat bergantung dan sentiasa ada pada setiap waktu bersama-sama kita. Dengan itu pasti kita akan berasa lebih. Menurut Huzaifah, apabila Rasulullah SAW bersedih atau menghadapi masalah, Baginda SAW terus mendirikan solat, walaupun Baginda berada dalam perjalanan. Tenang dan lega dengan tekanan yang dialami.
#3- Sabar
Maka bersabar itu lebih indah. Sesungguhnya Allah SWT sangat mencintai golongan yang sabar. Golongan yang memahami pengertian sabar pasti menerima setiap dugaan dan tekanan dengan tenang dan reda. Ini kerana pada penghujung sabar itu pasti memberi kemenangan yang indah.
Siti Maryam ketika dituduh sebagai pelacur setelah melahirkan Nabi Isa AS tanpa bersuami juga bersabar, katanya ‘sabar itu lebih indah’. Begitu juga dengan firman Allah;
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Al- Baqarah:153
#4- Banyakkan Berdoa
Doa juga merupakan cara kita untuk merapatkan hubungan dengan Allah SWT. Berdoa dan mengadu kepada Allah membuktikan bahawa kita sebagai hamba yang sangat berharap dan langsung menjadikan Allah sebagai tempat mengadu bahawa kita sedang mengalami masalah.
Allah SWT sentiasa mengetahui setiap yang berlaku dan diinginkan oleh hambaNya, namum sebagai hamba jika kita terus berdoa kepada Allah bererti kita terus ‘menghubungi’ Allah SWT. Mohonlah kepada Allah untuk diberi kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi permasalahan kita, bahkan berikanlah kemudahan dan penyelesaian kepada kita.
#5- Sentiasa Ikhlas
Ikhlas merupakan perkara paling penting dalam setiap perbuatan. Buatlah sesuatu perkara itu dengan penuh ikhlas dan bukannya berharapkan pada sesuatu. Jika kita ikhlas pasti kita tidak akan mengalami masalah jika tidak mendapatnya sesuatu itu. Ikhlas juga dapat menjadikan diri kita tenang selain menjauhkan diri dari azab Allah SWT. Jika semua perbuatan kita niatkan dengan ikhlas demi mengharap reda Allah, pasti hasilnya tidak menjadikan kita stress dan tertekan.
#6- Sentiasa Bersangka Baik
Memiliki sikap yang gemar bersangka buruk sebenarnya hanya merosakkan hati dan membuatkan hati tersebut sentiasa tidak tenang. Kadang-kadang hal kecil sahaja akan mendatangkan prasangka buruk dan memikirkannya sehingga menyusahkan diri sendiri. Namun, dengan bersangka baik pasti akan menjadikan seseorang itu positif dan sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik belaka. Selain itu, bersangka baik juga membuatkan diri kita lebih percaya kepada aturan Allah SWT dan menyerahkan setiap sesuatu kepadaNya.
#7- Melakukan Kebaikan Dan Amal Soleh
Dengan melakukan kebaikan yang dituntut oleh Allah SWT serta menjauhi laranganNya akan menjadi hidup seseorang itu diberkati Allah dan jauh daripada tekanan hidup yang menyukarkannya. Amalan soleh termasuklah bersedekah, berpuasa sunat, berwakaf dan sebagainya.
Pernahkah kita melihat sesorang yang tenang hidupnya walaupun dia bukanlah orang yang kaya-raya? Mungkin itulah keberkatan hidupnya dari kebaikan yang dilakukannya.
Allah SWT berfirman;
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
An-Nahl : 97
#8- Amalkan Tawakal
Setiap hamba yang bertawakal pasti akan bersyukur dengan apa-apa sahaja keputusan yang Allah berikan kepadanya, termasuklah ujian, dugaan dan cabaran pasti akan diharunginya sebaik mungkin. Selain itu, dia juga menanggap semua aturan Allah itu sebagai takdir serta qada dan qadarnya. Dengan itu membuatkannya tidak patah semangat dan berserah kepada Allah SWT, namun tidak mengalah. Dengan itu hamba Allah seperti ini akan lebih mudah menguruskan tekanan bahkan tidak bermasalah langsung dengan kehendak Allah itu.